Menjadi pertanyaan dalam lubuk hatiku sejak beberapa tahun kebelakangan ini adakah salah pemilik badan, orang lain atau pencipta kita sendiri kerana mencipta kita sebegini? Terkadang hati ini terkeliru dengan sikap diri ini kerana kekadang memiliki banyak personaliti yang berbeza dan merumitkan sekelumit perasaan individu disekeliling ini. Hanya diri ini yang memahami situasi dan bersama Yang Maha Kuasa sahaja yang mengerti.
Tidak terlalu kasar mulut bicara mengatakan yang hidup ini tidak adil termasuklah undang-undang duniawi yang menyisihkan beberapa generasi mahupun individu yang terbangkit menegakkan benang yang dikatakan tidak boleh ditegakkan walaupun basah tetapi pada hakikatnya tidak mustahil untuk ditegakkan. Kerana, di mata Pencipta semua itu tidak mustahil. Menangis hati individu tertindas kerana terperangkap dalam diri yang sejak azali dilahirkan sebegitu dan terpaksa menerima kurniaan dengan adanya.
Bersyukurlah dengan diri yang tidak sempurna kerana menurut para penyebar agama 'kita dicipta mengikut rupa dan gambar-Nya'. Jangan sesekali menghakimi ciptaanNya kerana itu menunjukkan kita menghakimi kebolehanNya. Kerana aku percaya Dia aku terima siapa diri aku. Aku tahu aku adalah seorang insan yang tidak sempurna dan banyak dosa tetapi tetap bersyukur dengan segalanya.
Kenapa disisih? Kenapa dideskriminasikan? Kenapa dipenjarakan? Kenapa?...Beberapa pertanyaan yang terpahat di lubuk hati apabila membaca beberapa keratan berita yang menunjukkan beberapa para pencinta ditangkap dan dibicarakan atas dasar cinta yang salah. Kenapa? Salahkah Bercinta? Salahkah menerima siapa yang kita cinta? Salahkah mencintai sesama jantina? Bukankah Pencipta menggalakkan kita mencintai dan menyayangi sesama manusia?
Terkadang memang tidak adil bagi sesetengah orang mengapa hal ini terjadi. Tabik dari diri ini untuk para pejuang yang memperjuangkan kelemahan insan ini. Terima kasih kepada mereka yang mengikhtiraf perjuangan si pejuang dan berbahagialah mereka yang telah terikat dalam pertalian sah. Ingin diri berjuang tetapi takut dengan undang-undang duniawi kerana diri ini tidak sempurna dan diri ini hanyalah sebutir pasir kecil yang tersesat di gurun sahara.
Maafkan diri ini sekiranya bahasa dan ayat serta perkataan yang diri ini guna dalam nukilan dan taipan kali ini menusuk hati kalian yang membaca. Maafkan sekiranya aku salah. Aku hanya membisikkan rasa terkilan dan sangsiku. Sekiranya ada betulnya bisikan ini, terima kasih kerana sependapat. Ketahuilah kita hanya menumpang dan kita tidak layak untuk menghakimi apa yang kita tumpang. Menghakimi ciptaanNya umpama memperlekehkan KebolehanNya.
Hanya nukilan serta bisikan hati makhluk lemah yang menumpang duniawi..